Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kini berada di
landasan yang kukuh dalam memperluaskan tanaman nanas di seluruh negara.
Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali bertekad untuk
memastikan tanaman nanas bakal menjadi antara tanaman utama negara berikutan
permintaan yang memberangsangkan dari pasaran tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, nanas segar sudah mendapat permintaan tinggi di
pasaran dunia seperti China, Korea, Jepun dan Timur Tengah.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tahun 2016-2020,
sebanyak RM102.6 juta diperuntukkan LPNM bagi menjalankan tujuh projek yang
membabitkan pengukuhan tanaman nanas.
“Ia selari dengan hasrat untuk mencapai sasaran keluasan tanaman
nanas seluas 14,000 hektar menjelang 2020 berbanding 10,000 hektar pada masa
kini,” katanya.
Samsolbari berkata, pelbagai program transformasi dilakukan
termasuk melaksanakan program pembiakan benih varieti premium MD2 bagi memenuhi
keperluan penanaman yang tinggi.
“Memperluaskan tanaman nanas secara bersepadu seperti di Rompin
Integrated Pineapple Plantation (RIPP), Pahang, berkeluasan 600 hektar.
“Bekerjasama dengan kerajaaan negeri dalam membangunkan tanah
terbiar dan menggalakkan penanaman nanas secara ladang mini.
“Mengikut analisis yang dibuat LPNM, pekebun yang mengusahakan
tanaman nanas melebihi dua hektar bagi varieti MD2, boleh memperoleh purata
pendapatan bersih hingga RM6,000 bagi setiap hektar sebulan,” katanya.
Menurutnya, LPNM kini memberi tumpuan kepada penanaman nanas
berskala komersial yang boleh diuruskan secara berkelompok atau melalui
koperasi untuk memastikan pengusaha yang terbabit mampu memperoleh pendapatan
lebih baik melalui pengurusan cekap dan sistematik.
“Selain itu, industri hiliran berasaskan nanas turut menjadi
fokus utama LPNM untuk membantu usahawan dalam sektor industri kecil dan
sederhana (IKS) memperoleh manafaat serta memberi tambah nilai kepada buah
nanas itu sendiri.
“Antara produk IKS berasaskan nanas yang mendapat permintaan
tinggi seperti sos nanas, jem nanas, chip nanas, kopi nanas, biskut serat nanas
dan kuih popular tart nanas,” katanya.
Samsolbari menaruh harapan dan keyakinan terhadap LPNM dalam
usaha mentransformasikan industri nanas di negara ini.
No comments:
Post a Comment