Saturday, 20 January 2018

INFO BARU KG HULU JAWA

Koperasi Ayer Baloi Pontian Berhad (KABPB) mengusahakan tanaman lada hitam di Kampung Jawa Hulu, Ayer Baloi, Pontian, Johor, sekali gus memberi peluang kepada petani meningkatkan hasil mereka selain tanaman kelapa sawit, getah dan nanas.
Tanah berkeluasan kira-kira 1.2 hektar itu membabitkan 1,400 pokok lada hitam. Ia sesuai ditanam di lokasi berkenaan kerana suhu lembap sepanjang tahun selain tanahnya yang subur.
Pengerusi KABPB Mohd Yusof Yunos berkata, pokok lada hitam adalah sejenis tumbuhan menjalar pada pokok dedap yang berfungsi sebagai ‘tiang sandaran’ dengan ketinggian kira-kira lima meter.
Beliau berkata, hasil pengeluarannya bermula dari usia dua tahun dan mampu mengeluarkan hasil (tuaian pertama) dengan anggaran seberat dua hingga tiga tan.

“Harga pasaran lada hitam kini sangat baik hingga mencecah RM16 hingga RM40 sekilogram. Petani perlu mengambil kesempatan daripada permintaan terhadap lada hitam yang menggalakkan di pasaran untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Bagi menghadapi cabaran masa depan dan kekal antara peneraju bagi komoditi lada hitam, kami mendapat kerjasama Herba Bagus Sendirian Berhad (HBSB) yang juga peserta Projek Pertanian Moden di Ayer Hitam, Kluang. Pada masa sama kami terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan ke ladang berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian Mohd Shukri Masbah dan Ketua Pegawai Eksekutif HBSB Datuk Mohamad Adha Jaid.
Sementara itu, Ahmad berkata, kewujudan ladang lada hitam di kampung berkenaan antara imej baru selain tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah dan nanas.
Menurutnya, golongan petani sepatutnya lebih agresif dalam memajukan pekerjaan mereka.
Ini kerana dengan memiliki aset sendiri seperti ladang dan turut membabitkan diri sebagai peniaga, sudah pastinya hasil yang diperoleh dapat dimaksimumkan.
“Jika ada tanah terbiar dan tidak terurus kerana pelbagai faktor seperti kurangnya minat generasi muda untuk mewarisi kegiatan yang diusahakan keluarga, ia perlu dimajukan melalui pelbagai pihak termasuk badan koperasi dalam usaha meningkatkan pendapatan.
“Pelbagai produk lada hitam dapat dihasilkan, selain mempunyai harga pasaran yang tinggi dan terbaru, ia turut digunakan dalam penyediaan makanan tambahan berasaskan lada hitam,” katanya.
Katanya, usaha HBSB sangat membanggakan bukan saja mampu mengeluarkan pelbagai produk berasaskan lada hitam, malah berjaya mencipta baja yang berfungsi dalam tumbesaran pokok selain mengekalkan kesuburan secara konsisten

No comments:

Post a Comment