Saturday, 20 January 2018

Liverpool The Red

Penyokong Liverpool di negara ini pada awal pagi Isnin lalu bangun dengan penuh ceria. Iyalah, pasukan mereka berjaya menjinakkan calon utama juara liga, Manchester City di laman sendiri, 4-3, dalam aksi mendebarkan itu.
Kejayaan The Reds itu tidak hanya dirai penyokong setia mereka itu. Malah ia turut dikongsi oleh penyokong beberapa pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti seteru utama, Manchester United, selain penyandang juara, Chelsea.
Ini kerana kemenangan di Anfield itu bukan saja melonjakkan Liverpool di tempat ketiga liga selepas menyingkirkan Chelsea, meskipun memiliki himpunan jumlah sama iaitu 47. Malah, ada elemen lain lebih penting daripada itu.
Kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah skuad Pep Guardiola selepas 23 perlawanan itu, sebenarnya turut berjaya membuka kembali peluang pasukan lain merebut kejuaraan liga musim ini.
Kekalahan kepada Liverpool itu menyaksikan kelebihan City kini dikurangkan kepada 12 mata dengan United yang berada di tempat kedua liga, selain 15 mata di belakang Liverpool dan The Blues.
Sebelum ini, skuad The Citizens kelihatan hampir pasti merampas kejuaraan dari Chelsea selepas selesa mendahului United dengan 15 mata tatkala saingan memasuki fasa kedua dengan berbaki 15 perlawanan.
Persoalannya sekarang, mampukah City terus mempertahankan kelebihan itu? Atau adakah United atau Liverpool dan Chelsea berupaya memintas dengan memenangi semua baki perlawanan sambil mengharapkan City tercicir mata selepas ini?
Inilah yang menarik untuk kita saksikan ketika tempoh perpindahan pemain masih berbaki 11 hari lagi. United dijadual membuat perhitungan dengan jirannya itu pada 7 April, manakala Chelsea pada 3 Mac.
Terdahulu, pada 1 Februari, United perlu berdepan Tottenham di laman lawannya itu dan empat hari selepas itu Liverpool pula menjadi tuan rumah kepada Spurs. Red Devils kemudian membuat perhitungan di Old Trafford menentang Chelsea pada 25 Februari manakala Arsenal melayan City di Emirates. Ketika itu, bayangan calon juara sudah pun bisa diramal.
Bagaimana pula bagi aksi minggu ini? Berbanding minggu lalu, kali ini tiada satu pun perlawanan yang boleh dianggap sebagai aksi tumpuan. Pun begitu, saingan City menentang Newcastle di Etihad tetap perlu diberi perhatian.
Perlawanan ini bagi penulis seharusnya menjadi medan untuk Guardiola menyaksikan kebangkitan City dalam usaha merangkul kejuaraan liga musim ini. Mereka harus segera menyingkirkan rasa kecewa di Anfield dengan memenangi aksi menentang The Magpies itu.
Sergio Aguero dan Raheem Sterling harus menunjukkan kembali taring untuk merobek gawang lawan mereka. The Citizens tiada sebab untuk mencicir satu mata pun daripada perlawanan ke-24 ini.
Andai gagal mengutip mata penuh, sudah pasti United akan mengambil sepenuhnya peluang itu untuk terus merapatkan kedudukan. Anak buah Jose Mourinho bakal berkunjung ke laman Burnley malam ini dalam aksi yang mungkin turut diperkuatkan bekas penyerang Arsenal, Alexis Sanchez.
Sementara itu, The Blues juga perlu menghilangkan terus`badi' seri mereka andai ingin mengelak dari keciciran. Kegagalan mengatasi Leicester City di laman sendiri minggu lalu jelas mengecewakan Antonio Conte dalam usaha bangkit mempertahankan kejuaraan.
Spurs pula dijangka berdepan saingan sukar berdepan Southampton, namun masih memiliki kelebihan mengutip mata penuh, manakala Arsenal harus menyalahkan diri sendiri jika gagal menjinakkan Crystal Palace di Emirates, malam ini.

No comments:

Post a Comment