Saturday 20 January 2018

AADK Bina Masa Depan



Usaha berterusan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bukan sekadar melakukan langkah pencegahan tetapi turut bersama-sama membantu penghuni Pusat Rawatan dan Pemulihan Narkotik (CCRC) membina masa depan lebih baik selepas menerima rawatan.
Ia dibuktikan dengan kejayaan dicapai penghuni CCRC Jelebu yang serba boleh kerana bukan saja terbabit aktiviti dalaman sebaliknya mengusahakan projek tanaman nanas bagi menghasilkan pelbagai produk untuk tempahan pelanggan.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Halim Mohd Hussin berkata seramai 50 penghuni terbabit mengusahakan tanaman itu di tanah berkeluasan 10 hektar bermula 2003.


Katanya, nanas diperoleh tidak hanya dijual sebaliknya dihasilkan untuk banyak produk antaranya jem, kuih tart, kek dan jus nanas.
“Ini langkah dilakukan AADK bagi memastikan penghuni dipulihkan dan pada masa sama mengembalikan keyakinan masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Produk Nanas TitiGold AADK di CCRC Jelebu.
Program berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jalaluddin Alias.
Hadir sama, Pengarah CCRC Jelebu Nazira Sadiron.
Dr Halim berkata, produk berasaskan nanas dihasilkan oleh 10 penghuni bermula akhir tahun lalu dan dibekalkan kepada penduduk sekitar dan luar negeri ini.
“Bagi sambutan Aidilfitri lalu, sebanyak 1,000 bekas kuih tart terjual dan menyumbang pendapatan sebanyak RM6,000,” katanya.
Beliau berkata, tanaman nanas menyumbang pendapatan RM80,000 sejak 2003 dan menerima kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Pada peringkat awal projek, kami menanam 150,000 anak pokok jenis N36, 50,000 anak pokok jenis Yankee dan 300 anak benih jenis Crystal Honey. Sehingga kini kami memiliki enam variasi nanas popular termasuk MD2, Morris dan nanas Sarawak,” katanya.
Menurutnya lagi, Produk Nanas TitiGold adalah penjenamaan semula terhadap penanaman itu yang mahu menjadikan daerah ini sebagai pusat pengeluaran nanas.
Sementara itu, seorang penghuni CCRC yang mahu dikenali Fadil, 38, berkata, dia bertuah diberi peluang terbabit projek penanaman nanas.
Dia yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, kemahiran bercucuk tanam itu akan digunakannya sebaik dibebaskan pada Februari tahun depan.
“Secara kebetulan keluarga saya memiliki tanah di kampung yang sebelum ini saya gunakan untuk menanam pokok pisang.
“Saya berharap dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan dapat berdikari dengan penanaman nanas selepas ini, ” katanya.
Usaha yang dilaksanakan AADK itu selari dengan tiga perkhidmatan teras AADK iaitu Pendidikan Pencegahan (BPC), Rawatan, Perubatan dan Pemulihan (BRPP) dan Penguatkuasaan dan Keselamatan (BPK).
Pada masa sama pelbagai inisiatif baru diperkenalkan bagi meningkatkan mutu dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan, iaitu penyampaian perkhidmatan AADK menepati kehendak rakyat.
AADK juga memperkenalkan Modul Islamic Spiritual Rehabilitation Approach (ISRA) iaitu satu modul yang digunakan dalam proses rawatan pemulihan bagi masalah ketagihan dadah khususnya kepada penghuni beragama Islam di institusi pemulihan AADK.
Ia satu lagi modul kerohanian dengan mengintegrasikan model inabah dan psikososial. Modul ini menggunapakai beberapa elemen dan rujukan daripada modul Pondok Inabah seterusnya telah ditambahbaik dan disesuaikan mengikut keperluan klien, persekitaran dan peraturan pusat pemulihan AADK.

No comments:

Post a Comment